Friday 25 February 2011

Esei CTU151

TAJUK:
Sejarah Penubuhan dan Kegiatan Masjid Negeri Pulau Pinang

DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU151

DISEDIAKAN OLEH:
Liyana Athira Bt Abdul Mutalib
No Matrik : 2010660296
Kumpulan:  BMD2Ac

PROGRAM:
Diploma Pengajian Perniagaan

TARIKH HANTAR:
25 FEBRUARI 2011

1. Isi Kandungan

1. Isi kandungan
2. Abstrak
    Pendahuluan
3. Pengertian masjid
4. Peranan masjid
5. Sejarah penubuhan
6. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan
7. Penutup
8. Rujukan

2. Abstrak

TAJUK : Masjid Negeri Pulau Pinang

ABSTRAK

Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Seperti mana kita tahu, masjid telah dibina di setiap negeri. Secara umum, masjid digunakan sebagai tempat untuk menunaikan solat bagi setiap umat Islam di muka bumi ini. Walaubagaimanapun, masjid bukan sahaja digunakan untuk solat malah banyak lagi peranannya. Sebagai contoh, kita dapat lihat bahawa masjid juga digunakan sebagai tempat untuk menuntut ilmu, mempelajari Al-Quran, ilmu-ilmu tajwid, ilmu feqah dan banyak lagi. Sebagai contoh, Masjid Negeri Pulau Pinang telah banyak menjalankan aktiviti di masjid tersebut. 

PENDAHULUAN

Masjid Negeri Pulau Pinang merupakan sebuah institusi masjid ynag berada sepenuhnya dibawah kelolaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berpusat di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIPP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ianya merupakan sebuah masjid yang dibina oleh Kerajaan Negeri di atas keluasan tanah 11 ekar yang merupakan hak milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). Masjid negeri ini terletak di persimpangan Jalan Air Itam dan Jalan Masjid Negeri di mana harga taksiran tanah bernilai RM 1,811,000.000 pada masa tersebut. Upacara meletakkan batu asas pembinaan Masjid Negeri ini telah disempurnakan oleh T.Y.T Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Tan Sri Dato' Seri Dato' Haji Sardon bin Haji Jubir pada 16 Julai 1977 di tapak pembinaan utama Masjid Negeri Pulau Pinang ini.

3. Pengertian masjid 

Masjid (مسجد) ialah tempat beribadat yang khusus, seperti solat dan iktikaf, bagi orang Islam. Bangunan ini juga merupakan pusat kebudayaan, muamalat, dan perkembangan dakwah Islamiah, serta pusat aktiviti umat Islam. Masjid tidak mempunyai rupa bentuk yang tetap, tetapi bergantung kepada budaya masyarakat Islam setempat. Dari sudut bahasa,"masjid" bermaksud tempat bersujud, yang bererti patuh, taat, serta tunduk dengan penuh hormat dan takzim.
Meletakkan  dahi,  kedua-dua tangan, lutut dan kaki ke bumi, yang kemudian dinamai sujud oleh syariat,  adalah  bentuk  lahiriah yang  paling  nyata  dari makna-makna di atas. Itulah sebabnya mengapa bangunan yang dikhususkan  untuk  melaksanakan  solat dinamakan masjid, yang bermaksud "tempat bersujud."
Sejak zaman permulaan Islam lagi iaitu zaman Rasulullah s.a.w. , kemajuan umat dan gerakan Islam semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi yang tidak terhad kepada bidang dakwah malah perdagangan, perundangan, dan penyebaran ilmu dan lain-lain.
Dalam pengertian lain, masjid merupakan tempat solat kaum Muslim. Oleh disebabkan maknanya mengandungi makna tunduk dan patuh, hakikatnya masjid adalah tempat untuk melakukan segala aktivit yang merupakan bukti kepatuhan kepada Allah SWT semata-mata. Dalam Al-Quran, iaitu surah Al-Jin(72): 18, menegaskan bahawa: 

Sesungguhnya masjid-masjid itu adalah milik Allah, kerana janganlah menyembah selain dari Allah.

Rasulullah s.a.w juga bersabda,

Telah dijadikan untukku (dan untuk umatku) bumi sebagai masjid dan prasarana penyucian diri (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim melalui Jabir bin Abdullah)

Terdapat tiga (3) masjid utama yang dimuliakan oleh umat Islam iaitu, Masjidil Haram di Makkah, yang merupakan tempat terletaknya Ka’bah. Ka’bah merupakan kiblat solat bagi umat Islam. Masjid yang kedua ialah Masjid Nabawi yang terletak di Madinah dan yang terakhir ialah Masjidil Aqsa di Al-Quds (Jerusalem), Palestin.
Di Malaysia pula, pembahagian tempat beribadat dibahagikan kepada beberapa pecahan iaitu Masjid Negara, Masjid Negeri, Masjid Daerah, Masjid Qaryah dan surau.

4. Peranan Masjid

Solat merupakan kegiatan utama yang dilaksanakan di masjid. Hadis Nabi riwayat Hudaifah:

“Rasulullah saw. bersabda: Aku telah diciptakan berbeza dengan umat sebelumnya dalam tiga  perkara, iaitu shaf-shaf kami  telah  dijadikan  seperti  shaf  para malaikat dan seluruh dunia merupakan masjid untuk kami, dan debunya telah dijadikan  penyuci  jika  air  tidak  tersedia....”. (HR. Muslim)

Dalam hadis tersebut dapat dibuktikan bahawa solat yang memiliki shaf, mengandungi makna kedisiplinan, keteraturan dan kepatuhan terhadap waktu. Hal ini bermaksud, masjid tidak hanya digunakan untuk menunaikan solat sahaja. Hal-hal lain yang terkaitan dengan kepatuhan terhadap Allah SWT boleh dilakukan di masjid. Seperti pada zaman Rasulullah saw, masjid memiliki fungsi lain seperti pusat pemerintahan, proses legislasi, interaksi masyarakat dan fungsi-fungsi duniawi lainnya.

Selain  itu , masjid  juga harus mampu memberikan ketenangan dan ketenteraman pada pengunjungnya. Apabila masjid dituntut sebagai tempat membina umat, tentu prasarana yang dimilikinya harus tepat, menyenangkan dan menarik umat, baik dewasa, anak-anak, mahupun remaja lelaki mahupun perempuan. Dalam  Muktamar  Risalatul  Masjid  di Makkah tahun 1975, hal ini telah didiskusikan dan disepakati, bahawa  masjid  baru  dapat dikatakan berperan secara baik bila memiliki ruangan dan peralatan  memadai, bersih  dan sihat serta selesa untuk menunaikan solat. 

5. Sejarah Penubuhan Masjid Negeri Pulau Pinang

Pembinaan masjid ini diilhamkan oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman iaitu bekas Perdana Menteri Malaysia pada awal tahun 1968. Peranan aktif Y.T.M. di dalam meninggikan syiar Islam seperti mempelupurkan musabaqah membaca Al-Quran dalam tahun 1960, pembinaan Masjid Negara pada tahun 1965 dan mengadakan pelbagai rancangan dakwah Islamiah tidak dapat disangkal oleh segenap lapisan kaum muslimin di Malaysia malah di seluruh dunia. Untuk memenuhi hasrat gigih umat Islam di Pulau Pinang, Y.T.M Tunku telah mengesyorkan sebuah Masjid Negeri perlu didirikan di negeri ini dengan jaminan sebanyak sejuta ringgit sebagai bantuan dari Kerajaan Persekutuan. Cadangan tersebut disambut baik oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Lim Chong Eu. Ianya juga disokong sepenuhnya oleh Allahyarham Tun Syed Sheh Shahabudin dan Allahyarham Tun Datuk Syed Sheh Al-Haj bin Syed Hassan Barakbah, bekas T.Y.T. Yand Di Pertua Negeri Pulau Pinang. Cadangan pembinaan itu juga diperkenan dan direstui oleh kebawah D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong selaku Ketua Agama bagi negeri Pulau Pinang.


Jawatankuasa Pembinaan Masjid Negeri ditubuhkan pada bulan Jun 1969. Jawatankuasa Pelupur tersebut di Pengerusikan oleh Datuk Haji Harun Sirat yang ketika itu memegang jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri bersama dengan Datuk Haji Mohd. Sidek bin Elamdin yang ketika itu menjadi Setiausaha Sulit kepada T.Y.T. sebagai Setiausaha. Jawatankuasa Pembinaan Masjid Negeri telah memutuskan cara-cara pungutan derma seperti dermawan-dermawan Islam dan bukan Islam, badan-badan sukarela, pertubuhan-pertubuhan dan badan korperat serta kakitangan kerajaan yang beragama Islam dan bukan Islam.

 Pada 4 Mac 1971, pelan tapak telah dibentangkan dalam persidangan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama bersama Y.T.M Tunku sendiri mempengerusikan persidangan itu. Sementara itu, Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid diambil alih oleh Allahyarham Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdullah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pegawai Daerah Timur Laut, Encik Ismar bin Iskandar telah dilantik sebagai Setiausaha pada awal tahun 1973.

Dalam usaha mencari tapak pembinaan masjid negeri itu, beberapa tempat di dalam negeri dipilih untuk dijadikan tapak bangunan. Antaranya ialah Padang Kota Lama, Padang Dato' Keramat, di persimpangan Jalan Scotland dan Jalan Western serta di Jalan Goal. Akhirnya setelah mendapat kata sepakat, Jawatankuasa Pembinaan telah bersetuju untuk memilih sebidang tanah di persimpangan Jalan Air Itam dan Green Lane. Keluasan tanah itu lebih kurang 11 ekar milik Kerajaan Negeri. Menurut taksiran, harga tanah ini bernilai RM 1,811,000.00.
 

Tapak pembinaan Masjid Negeri itu telah mendapat persetujuan Y.A.B Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak iaitu pada tahun 1974. Disamping itu, Allahyarham juga telah meluluskan peruntukan Kerajaan Pusat bagi membiayai sebahagian daripada kos pembinaan masjid tersebut.
Selepas dilantik menjadi T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang pada awal tahun 1975, Tun Datuk Haji Sardon bin Haji Jubir berazam untuk menjadikan tugas utamanya untuk menggerak Jawatankuasa Pembinaan Masjid memberi perhatian serius terhadap pembinaan Masjid Negeri. T.Y.T. telah memberi nafas baru, dorongan, galakkan, pimpinan dan peransang kepada Jawatankuasa pembinaan dengan harapan Masjid yang diidamkan itu dapat didirikan dalam jangka waktu yang ditetapkan. T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri seterusnya menjadi penaung sementara isterinya Toh Puan Datuk Hajjah Sadiah sebagai penasihat.
Sepanjang Pembinaan Masjid Negeri T.Y.T. dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan sentiasa mengambil berat di atas setiap perkembangan pembinaan Masjid tersebut, di samping mengambil inisiatif menambahkan Tabung Kewangan Masjid Negeri dan memberi beberapa pandangan dan nasihat yang diperlukan. Satu Majlis Makan Malam untuk melancarkan pungutan derma secara besar-besaran telah diadakan di Residensi pada 28 Julai, 1975 dengan dihadiri oleh Allahyarham Y.A.B. Tun Haji Abdul Razak, bekas Perdana Menteri, Malaysia dan Y.A.B. Toh Puan Hajjah Rahah. Sambutan yang diberikan oleh para dermawan amatlah menggalakkan. Modal reka bentuk Masjid dipamirkan di majlis tersebut.
Tuan Yang Terutama telah memulakan pelancaran tersebut dengan menderma wang untuk Tabung Pembinaan Masjid Negeri. Ini disusuli oleh para dermawan dan hadirin sekelian dengan menderma atau jaminan derma sebanyak RM241,315.00. Tuan Yang Terutama di dalam ucapannya pada malam tersebut membayangkan hasratnya supaya matlamat pungutan derma sebanyak RM500,000.00 itu disempurnakan dalam tempoh masa 6 bulan. Tetapi, Alhamdulillah, dengan daya penggerak yang dibuktikan oleh Tuan Yang Terutama sendiri maka matlamat ini telah tercapai dalam masa hanya 4 bulan sahaja.
Pada 23 Ogos, 1976, suatu lagi upacara dilaksanakan sebagai menanda bermulanya kerja-kerja pembinaan. Dalam upacara tersebut, T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri melakukan penanaman cerucuk yang pertama. Daya utama dan minat suci murni Tuan Yang Terutama sekali lagi terbukti di majlis tersebut di mana Tuan Yang Terutama sekali lagi menderma wang untuk Tabung Pembinaan Masjid, dan disambut secara spontan oleh para dermawan dengan menghulurkan derma sebanyak RM140,000.00 dalam tempoh masa tiga hari. Derma datang mencurah-curah dan ini dipergiatkan dari masa ke semasa dalam beberapa bulan angka RM1 juta telah diperolehi. Hasrat dan cita-cita rakyat mulai cerah.
Sempena Ulangtahun Harijadi T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri iaitu pada 16 Julai, 1977, suatu upacara meletakkan Batu Asas disempurnakan oleh T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri. Upacara itu dilaksanakan dengan penuh adat istiadat tradisi. Dalam upacara di majlis yang berbahagia itu, di antara lain T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri menyatakan:-  
‘Pada upacara yang gilang gemilang ini, kita patut juga menyampaikan penghargaan kita kepada Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang mula-mula mempelupuri cadangan pembinaan Masjid Negeri ini, iaitu semasa Tunku menjadi Perdana Menteri. Usaha ini telah diteruskan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak yang menggantikan Y.T.M. sebagai Perdana Menteri. Kita berdoa semoga Allah lanjutkan usia Y.T.M. Tuanku dalam keadaan sihat walafiat dan memberinya bertambah-tambah banyak taufik dan hidayah. Kita juga berdoa semoga di atas segala jasa yang disumbangkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, Allah akan mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama-sama orang yang beriman. 
Upacara meletakkan Batu Asas Masjid Negeri ini yang kita bersama-sama mengusahakannya adalah menjadi lambang keagungan Ugama Rasmi Persekutuan dan merupakan satu simbul perpaduan dan persefahaman serta keharmonian semua rakyat dari berbilang kaum dan berbagai ugama. Derma-derma yang disumbangkan dengan murah hati adalah disanjung tinggi bukan sahaja oleh Jawatankuasa Pembinaan Masjid Negeri bahkan oleh Kerajaan Negeri kerana ia membuktikan kesyukuran para dermawan terhadap Tuhan yang telah mengurniakan mereka kebahagiaan, kemakmuran dan kesejahteraan hidup di dalam dunia ini. Sepertimana yang terdapat dalam sepotong hadis yang diterjemahkan seperti berikut:-  
“Barangsiapa mendirikan sebuah masjid di Dunia ini dengan ikhlas kerana Allah, nescaya Allah akan mendirikan baginya sebuah Mahligai di syurga”.

Perasmian Masjid Negeri Pulau Pinang ini telah dirasmi dan disempurnakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada tanggal 29 Ogos 1980 bersamaan dengan 18 Syawal 1400H.

Majlis perasmian ini juga dihadiri oleh T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang serta Menteri-Menteri dan ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada ketika itu.


6. Aktiviti-aktiviti yang Dijalankan di Masjid Negeri Pulau Pinang

Pelbagai aktiviti yang dijalankan di masjid negeri ini. Antaranya ialah Kem Rantaian Kasih, Kursus Pengurusan Jenazah Islam, Pengajian Kitab Syamail sempena sambutan Maulid 1431H, Kelas Tafaqquh Fiddin, Kursus Ibadat Haji dan Umrah dan banyak lagi.


Kem Rantaian Kasih adalah program motivasi yang dianjurkan bersama oleh Masjid Negeri Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara Pulau Pinang. Kem ini telah diadakan selama 3 hari 2 malam bermula 09 April hingga 11 April 2010 bertempat di Masjid Negeri Pulau Pinang. Program ini  melibatkan para pelajar SMK Sg Ara yang terdiri daripada pelajar tingkatan 3 hingga tingkatan 5 seramai 163 orang. Antara pengisian yang telah dilaksanakan ialah ceramah motivasi, latihan dalam kumpulan(LDK) dan lain-lain aktiviti bagi mendidik para pelajar supaya dapat menghayati nilai-nilai murni Agama Islam.

Kursus Pengurusan Jenazah Islam telah berjaya dilaksanakan pada 24 MAC 2010 iaitu pada hari Rabu,  bertempat di Dewan Syarahan Masjid Negeri Pulau Pinang. Kursus berlangsung selama sehari mulai jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Penceramah yang diundang ialah Tuan Haji Abdul Hamid bin Sulaiman, Imam Qaryah Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya, Sg Petani, Kedah. Kursus ini telah dihadiri seramai 98 orang peserta yang terdiri daripada anak jemaah Masjid Negeri, kakitangan Jabatan Penjara Malaysia, Ahli Qaryah Masjid Jalan Baru, Balik Pulau dan anak jemaah Surau Bukit Jambul. Peserta kursus telah didedahkan dengan pengajaran secara teori serta amali mulai saat awal kematian hingga disembahyangkan. Para peserta yang ditemui nyata berpuas hati dengan penyampaian dan isi kandungan kursus. Kursus ini adalah anjuran bersama Masjid Negeri Pulau Pinang dan Penjara Reman Pulau Pinang.

Program pembacaan Kitab Syamail dianjurkan bersempena Sambutan Maulidur Rasul SAW bagi tahun 1431H/2010M. Program ini berlansung selama 2 hari iaitu pada 27 dan 28 Februari 2010. Pembacaan kitab ini dibimbing oleh Y.Bhg Tuan Guru Hj Rosli bin Othman Al-Balfasi Al-Filfilani , AJK Fatwa Negeri Pulau Pinang. Program yang julung kalinya diadakan di masjid ini telah berjaya menarik penyertaan orangramai seramai 1230 orang melebihi sasaran awal iaitu 800 orang. Kitab, sijil dan makan minum disediakan secara percuma kepada semua peserta. Bajet program ini disalurkan melalui MMK(Agama) . Antara yang menyertai program ini ialah Y.B Tuan Abdul Malik bin Kasim, Exco Agama Pulau Pinang, Dato' Muhammad Yusuff bin Wazir, Timb. SUK Negeri Pulau Pinang dan Hj Sazali bin Hussein, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

Bagi kelas Tafqquh Fiddin pula, ianya dilaksanakan sepanjang tahun 2009 dan disambung lagi pada tahun 2010. Kelas ini diadakan pada setiap hari Sabtu pada jam 9.00 pagi hingga 11.00pagi. Subjek yang diajar ialah feqah, tauhid, tafsir dan hadis. Kelas feqah diajar oleh Y.Bhg Dato' Syeikh Hamid bin Tahir. Kelas tauhid diajar oleh Y.Bhg Dato' Syeikh Fadil bin Awang. Tafsir pula diajar oleh Y.Bhg Tuan Haji Rosli bin Othman dan akhirnya kelas hadis diajar oleh Y.Bhg Ustaz Mat Isa bin Abdul Rahman.

Kursus ibadat haji dan umrah dijalankan secara bersiri. Ianya diadakan pada setiap hari Ahad pada jam 9:00 pagi hingga 12:00 tengahari. Kursus ini bermula pada bulan April hingga Ogos sebanyak 17 siri. Tenaga pengajar yang menjayakan program ini ialah Tuan Hj Rosli bin Othman dan Tuan Haji Munawar bin Mohd Yusof. Seramai lebih kurang 300 peserta telah mengikuti program ini.

7. Penutup

Kesimpulannya, masjid mempunyai banyak peranan dan kegunaannya. Kita sebagai umat Islam haruslah berusaha untuk membangunkan institusi masjid di negara kita. Pada masa yang sama, kita juga harus menjaga kesucian masjid kita dari tercemar dengan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT seperti berlakunya kemungkaran dan sebagainya. 

8. Rujukan

http://masjidnegeri.blogspot.com/

http://www.reocities.com/CapitolHill/Lobby/2146/sejarah.html